Friday, August 6, 2010

Tanah Rezab

Tanah rezab menurut takrifan dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 153 Hak istemewa orang Melayu, tanah rezab ertinya adalah tanah yang direzabkan untuk diberi hak milik kepada orang Melayu atau kepada bumiputera bagi negeri yang terletaknya tanah itu di bawah undang-undang di negeri dia bermastautin. Tanah merupakan aset untuk meneruskan hidup dan komponen penting untuk diwariskan. Ia juga merupakan komoditi yang boleh dijual, dibeli atau digadai untuk untung kerana nilai permintaannya tinggi bagi tujuan pembangunan dengan pengubalan Akta Pengambilan Tanah.

Akta pengambilan tanah juga menetapkan jenis-jenis tanah yang boleh diambil secara wajib iaitu merangkumi tanah asing seperti yang ditakrifkan oleh Majlis Tanah Negara (MTN), jenis tanah yang didiami dengan harapan mendapatkan hak milik, jenis tanah milik sementara MTN dan jenis tanah kediaman akan dimasukkan ke dalam daftar pemilik dibawah Akta Pengambilan Tanah, 1960. Seksyen 8(3) menetapkan bahawa keputusan pihak berkuasa tempatan menjadi bukti yang kukuh dan tidak boleh dipersoalkan lagi. Namun, pengisytiharan itu boleh dipertikaikan jika berlakunya penyalahgunaan kuasa oleh sesiapa yang terlibat. Perlembagaan juga menjamin hak kaum bukan Melayu yang tanah itu telah dipunyai atau didiami oleh seseorang bukan Melayu, maka mereka mempunyai hak atau kepentingan terhadap tanah tersebut. Sementara peruntukan khas juga ada mengenai tanah adat di Negeri Sembilan dan Melaka, dan tanah pegangan orang Melayu di Terengganu. Iaitu, tiada sekatan akan dikenakan undang-undang terhadap pemindahan milik atau pemajakan tanah serta sebarang kepentingan mengenai tanah adat di Negeri Sembilan dan Melaka.

Lazimnya, notis awal iaitu kenyataan akan diedarkan di Pejabat Tanah Daerah, papan kenyataan awam atau bandar-bandar yang berdekatan dengan tanah tersebut seperti yang difikirkan perlu oleh Pentadbir Tanah. Pihak pengusaha projek harus menjelaskan jadual pelaksanaan daripada peringkat awal perancangan pengambilan tanah, anggaran nilai pampasan dan maklumat penempatan, jenis pembinaan, pengawasan secara keseluruhan, pemantauan projek dan penilaian dari semua aspek. Selain itu, perkara yang harus dikenalpasti dalam perancangan untuk melaksanakan sesuatu aktiviti adalah menentukan pelan dan perangkaan sebenar projek melalui penyebaran maklumat daripada semakan dan pemeriksaan di Pejabat Tanah Daerah. Peringkat seterusnya, tanah dan aset diukur dan pemilik tanah akan dikenalpasti untuk menentukan nilai pampasan yang terjejas berdasarkan nilai pasaran semasa dan lain-lain dipertimbangkan di bawah prosedur yang wujud. Selepas jumlah benefisiari pampasan dipersetujui, bayaran pampasan sepatutnya diselesaikan paling kurang sebulan sebelum kerja-kerja pembinaan dijalankan. Individu yang diambil tanahnya berhak mengetahi prinsip asas dasar pampasan, kelayakan serta pilihan sama ada pampasan kewangan atau pampasan tanah dengan tanah dan untuk penempatan semula.

Penerangan mengenai tapak penempatan semula dan kemudahan, jadual pelaksanaan dan mekanisme penyuaraan rasa kilanan dapat memberi peluang kepada individu yang terjejas akibat projek meluahkan pandangan serta cadangan mereka. Mereka wajar dimaklumkan mengenai butiran projek, objektif, dampak kemungkinan, tarikh pemotongan kemudahan kelayakan, pampasan, kriteria, cara bayaran pampasan, pilihan penempatan dan bantuan pemulihan atau pelan pemulihan pendapatan yang ada serta mekanisme aduan dan penyuaraan kilanan.
(Sumber: Mohd. Razali Agus, 1992 : Pembangunan Perumahan: Isu dan Prospek; DBP Kementerian Pendidikan Malaysia)

Berdasarkan jumlah aduan yang diterima oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), adalah jelas bahawa masalah tanah merupakan perkara utama yang membimbangkan penduduk negeri Sabah dan Sarawak khususnya di kawasan pedalaman. Menurut Tan Sri Simon Sipaun, daripada 389 aduan yang diterima pada tahun lalu, sebanyak 130 aduan melibatkan isu tanah. Daripada 501 jumlah aduan yang diterima pada tahun 2006 pula, 131 daripadanya berkaitan dengan hal-hal tanah manakala pada tahun 2007, Suhakam menerima 301 aduan di mana 96 daripadanya berkaitan hal-hal tanah.
Kesimpulannya, kesedaran bahawa Tanah rezab adalah khazanah warisan negara yang tiada ternilai harganya dan harus dipertahankan.

(*Ia adalah sebahagian daripada hasil kerja kursus penulis sendiri.)

0 comments:

Post a Comment